Penyakit kaki tangan dan mulut (hand foot and mouth disease) atau singkatannya HFMD yang sedang tular sekarang ini adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh jangkitan virus, iaitu virus Coxsackie dan virus enterovirus. Mungkin ada kita dengar sekolah ditutup disebabkan penyakit HFMD, terutamanya apabila ramai anak-anak telah dijangkiti HFMD. Ini kerana ia biasa terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama seperti taska, pusat jagaan, mahupun sekolah.
Secara umumnya, ia biasa dijangkiti oleh anak kecil berumur bawah 10 tahun, namun kanak-kanak di bawah 5 tahun adalah yang paling berisiko untuk dijangkiti.
BAGAIMANA HFMD MEREBAK?
Ia merebak melalui sentuhan atau kontak secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam dari mereka yang dijangkiti.
Contohnya, tangan yang tidak dicuci bersih selepas melakukan penukaran lampin atau tersentuh air liur yang mana membolehkan virus berpindah daripada satu kanak-kanak ke kanak-kanak lain.
9 TANDA HFMD PADA BAYI & ANAK KECIL
- Demam yang tidak tinggi (suhu 38.2 darjah celcius)
- Sakit tekak
- Ulser pada tekak, mulut dan lidah
- Ruam / bintik-bintik berisi cecair (lepuhan kecil kita-kira 3 – 7 mm) pada tangan, pergelangan tangan, kaki dan kawasan lampin
- Sakit kepala
- Hilang selera makan
- Kurang menyusu (bayi)
- Cirit-birit
- Muntah
RAWATAN / TIPS
Umumnya, tiada rawatan khusus bagi jangkitan HFMD selain daripada langkah yang boleh diambil oleh ibu ayah untuk mengawal dan mengurangkan gejalanya. Antara yang boleh dilakukan termasuklah:
- Ubat paracetamol dalam dos spesifik yang dipreskripsikan oleh doktor untuk mengurangkan sakit / demam.
- Berkumur air garam.
- Pemberian makanan lembut seperti bubur, puding, aiskrim / minuman sejuk untuk mengurangkan rasa sakit pada mulut.
- Rehat secukupnya di rumah dan mengelakkan tempat-tempat awam termasuklah sekolah / pusat jagaan / nurseri.
- Menekankan penjagaan kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum dan selepas memegang anak.
PANTAU KEADAAN ANAK
Biasanya bintik-bintik merah HFMD akan berkurang dan hilang dalam masa 5-10 hari. Dalam pada itu, ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa memantau keadaan anak, terutamanya jika mereka mengalami demam dan sakit mulut hingga tidak mahu makan / minum.
Antara yang perlu diberi perhatian adalah:
- Fokus kepada demam (Demam terlalu panas, suhu tidak berkurang.)
- Hidrasi (Kurang kencing, lemah, mata semakin cengkung.)
- Muntah / cirit berterusan
- Kurang aktif, meragam tanpa henti, sawan
- Kesukaran bernafas, nafas laju
- Kelihatan pucat, berpeluh-peluh dengan luarbiasa atau apa saja simptom yang membimbangkan.
ELAKKAN JANGKITAN PADA AHLI KELUARGA YANG LAIN
Jika salah seorang anak anda terkena HFMD, maka anda perlu memastikan anak tersebut tidak berkongsi peralatan, makanan, minuman, atau mainan dengan anak-anak yang lain. Selain itu, ambil juga langkah-langkah seperti:
- Cuci tangan dengan bersih menggunakan sabun sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas, selepas menukar lampin dan mencuci najis.
- Menutup mulut dan hidung apabila batuk dan bersin. Tidak membiarkan tisu yang dicemari merata-rata di dalam rumah.
- Tidak menggalakkan berkongsi pakaian, tuala, perkakas makanan dan minuman serta mainan.
- Ibu bapa / penjaga hendaklah memastikan diri mereka bersih terlebih dahulu sebelum menguruskan anak atau bayi mereka.
- Sentiasa mengelap dan membersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak.
- Anak-anak hendaklah dijauhkan daripada tempat awam yang sesak (seperti sekolah, pra sekolah, tempat mainan, pasar dan pengangkutan awam) sekiranya mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan.
Semoga info ini sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa dan anak-anak yang sedang menghadapi situasi ini di mana anak-anak mereka telah dijangkiti virus HFMD. Hadapinya dengan ilmu, ketabahan dan kesabaran.
*Sumber infografik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia
* Kredit artikel: Sirap Limau
No comments:
Post a Comment